Monday, September 08, 2014

Berdengkur Petanda Awal Penyakit

Alhamdulillah...berpeluang jugak nak bercerita pasal tidur berdengkur nie. Dari minggu lepas asyik tertangguh nak buat entri nie. Agak-agak berapa ramai yang tahu diri sendiri tidur berdengkur? Mesti agak memalukan bila dapat tahu kita tidur berdengkur, terutama perempuan. Teringat masa belajar dulu, bila naik bas nak balik kampung, nak tidur pun takut-takut, mana lah tahu kot-kot berdengkur. Malu wooo gurl tidur berdengkur, kang tak pasal direject awal-awal..haha..tambahan plak kat sebelah ade mamat hensem. Tak pun tidur terganggu sebab orang sebelah tidur berdengkur. Macam-macam bunyi lak tue. Dah macam dalam cerita bujang lapuk lak. Ntah-ntah dia pun tak tahu dia tidur berdengkur. 


Sebenarnya tidur berdengkur merupakan gejala Obstructive Sleep Apnea (OSA). Apa tue? OSA ialah laluan udara dari hidung dan mulut tersekat ketika tidur. Kita bernafas menerusi hidung dan mulut. Halangan pada saluran pernafasan akan menyebabkan seseorang itu berdengkur.

Tisu yang membengkak di dalam hidung akan menyebabkan sebelah hidung sempit dan sukar bernafas. Keadaan ini memaksa kita menggunakan hidung yang sebelah lagi. Penggunaan yang berlebihan menyebabkan seseorang itu makin kuat berdengkur. Tisu membengkak disebabkan udara yang memasuki saluran hidung dengan aliran laju. Tulang rawan yang bengkok juga turut menyebabkan halangan pada salur pernafasan. Kerap bersin yang berpunca dari resdung atau alahan juga menyebabkan seseorang itu mudah berdengkur.


Menurut Dr Mallina, Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan pembedahan Leher dan Kepala Pusat Perubatan Tropicana, individu yang mengalami OSA tidak dapat tidur yang cukup dan berkualiti. Halangan pada salur pernafasan menyebabkan mereka kekurangan oksigen. Paru-paru tidak dapat menyerap oksigen dalam sistem darah, seterusnya gagal mengalir ke otak. 

Tonsil yang besar di lelangit juga boleh menyebabkan ruang mulut sempit, sekaligus menghalang pernafasan. Lelangit yang melendut dan anak tekak yang panjang menyebabkan ruang pernafasan sempit, dan kebiasaanya berlaku kepada mereka yang mengalami berat berlebihan.

Pangkal lidah yang panjang atau tulang rahang yang kecil dan pendek menyebabkan lidah tidak cukup ruang dan menutup salur pernafasan. Kesukaran bernafas kurang dirasai ketika mereka tidak tidur kerana ketika berdiri, semua bahagian dalam mulut dalam posisi yang baik. Ketika tidur pula, semua otot dalam mulut seperti tonsil, lelangit dan lidah kendur sehingga menyebabkan ruang menjadi sempit dan menghalang pernafasan.

Dianggarkan lebih dari satu million orang di dunia berdengkur semasa tidur kerana pelbagai sebab. Apakah puncanya?

Antara punca tidur berdengkur ialah:

1. Gaya Hidup
Perhatikan kembali gaya hidup dan ubahlah kepada gaya hidup yang lebih baik. Pengambilan alkohol yang berlebihan menyebabkan relaksasi saluran nafas semasa tidur dan dengkuran menjadi kuat. Gaya hidup yang kurang sihat boleh menyebabkan kita berdengkur.

2. Berat Badan Berlebihan
Berat badan yang berlebihan akan mengganggu saluran pernafasan kerana lemak yang terbentuk di sekitar kerongkong akan menyempitkan saluran nafas. Manakala lemak di perut menyebabkan diafragma tidak berfungsi secara teratur. Namun orang kurus juga boleh mengalami masalah berdengkur

3. Merokok.
Merokok menyebabkan paru-paru tersumbat. Asap rokok menginfeksi jaringan kerongkong yang menyebabkan bengkak dan akan menyebabkan saluran udara menjadi sempit dan berdengkur. Ia menjadikan pernafasan kurang baik, menyebabkan pembengkakan selaput lendir di hidung dan rangkaian tekak. Kajian mendapati lelaki lebih ramai berdengkur iaitu 80% berbanding wanita, kerana lelaki lebih ramai merokok.

4. Pengambilan Ubat-ubatan
Pengambilan ubatan menyebabkan gangguan pada hidung, tekak atau paru-paru kerana akan menyebabkan hidung tersumbat. Pengambilan pil tidur dan ubat penenang juga menambahkan risiko berdengkur.

5. Posisi Tidur
Orang yang suka tidur terlentang lebih cenderung berdengkur berbanding tidur mengiring. Sebab tue Nabi SAW ajar kita adab tidur mengiring ke arah kiblat. 

6. Faktor Usia
Wanita berumur 50 ke atas juga berisiko tidur berdengkur. Akibat proses penuaan, wanita kehilangan otot dan lemak di sekitar kerongkong, lidah dan kawasan berhampiran. 

Berdengkur merupakan gejala OSA yang membawa kepada gangguan tidur biasa tapi berpotensi serius bila nafas berulang kali terhenti dan berlanjutan semasa tidur. Antara risikonya:

1. Lemah Jantung
Halangan pada saluran pernafasan menyebabkan otak tidak dapat menerima oksigen yang cukup. Seseorang yang cenderung mendapat OSA kerap bangun malam tanpa sedar. Jantung terpaksa mengepam lebih kuat. Hal ini menyebabkan jantung menjadi lemah. 


2. Darah Tinggi
 Kerap bangun malam akan menyebabkan kualiti tidur terganggu. Hal ini akan menyebabkan seseorang berisiko mendapat darah tinggi dan angin ahmar

3. Gangguan emosi
Apabila kurang tidur, emosi akan cepat terganggu dan cepat marah kerana badan menjadi penat. Badan juga akan cepat letih, lesu dan tidak fokus.

Terdapat beberapa rawatan yang boleh mengatasi masalah berdengkur. Antaranya: 

1. Kaedah Perubatan
Alahan resdung dapat dirawat dengan ubat semburan bagi mengurangkan bengkak hidung. Penggunaan pil juga dapat mengatasi masalah tisu membengkak. Selain itu, mesin terapi tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) digunakan untuk membuka saluran pernafasan.

2. Pembedahan
Pembedahan disarankan pada bahagian yang bermasalah seperti tulang rawan yang bengkok. Pembedahan membetulkannya akan dilakukan bagi mengatasi masalah dengkur.

Selain itu, apakah kaedah rawatan lain yang boleh mengatasi masalah tidur berdengkur? Sambungannya pada entri seterusnya.