Thursday, October 23, 2014

Ujian Tanda Allah Sayang

Bersabar dan tabahlah wahai hati apabila diuji. Ucapkanlah alhamdulillah kerana Allah berikan ujian. Ucapkanlah Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un sewaktu diuji (Al-Baqarah: 156). Tenangkanlah hati dan berlapanglah di saat diri mendapat ujian. Sesungguhnya Allah sayang kamu kerana itu Allah pilih kamu antara berjuta hambaNya untuk menerima ujian tersebut. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambaNya dengan sesuatu di luar keupayaan hambaNya (Al-Baqarah:286). Bersabarlah duhai hati.

Jangan mudah menyerah, jangan mudah rapuh dengan ujian yang melanda. Sesungguhnya Allah menguji keutuhan imanmu. Jangan sesekali mengeluh dengan liku hidupmu yang sentiasa diuji, jangan ditangisi setiap apa yang berlaku. Allah tidak akan membiarkan kamu setelah diberi ujian ke atasmu. Bersabarlah duhai hati. 


Ujian itu untuk memartabatkan kamu di syurga nanti. Teruskan bersabar dan bersolat. Allah berpesan mohonlah pertolongan dari Allah, hendaklah sentiasa bersabar dan bersolat dalam apa-apa keadaan sekalipun (Al-Baqarah:153). Allah tidak akan membiarkan kamu bersenang lenang tanpa ujian. Ujian itu tanda Allah sayang kamu. Ujian itu tanda Allah ingin menghapuskan dosa kamu. Ujian itu sebagai azab yang dibalas dunia, agar kamu tidak terbeban di akhirat nanti. Terimalah dan bersabarlah duhai hati.


Percayalah, Allah ciptakan semua benda berpasangan. Begitu juga dengan ujian dari Allah, setiap kesulitan pasti ada kesenangan, setiap ujian pasti ada hikmahnya. Maka terus bersabar dan bertahan wahai hati. Seperti janji Allah dalam Al-Insyirah ayat 5-6.


Dan yakinlah, perancangan Allah adalah yang terbaik. Yang penting jangan berputus harap dengan pertolongan Allah. Jangan penat berharap dan merintih pada Pencipta kamu. Sebutlah nama Allah, yang menciptakan kamu. Sebutlah sepuas-puasnya agar kamu tenang. Hasbunallah wa ni'mal wakill. Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung (Ali-Imra: 173). Merintihlah dihadapan Allah, bukan dihadapan manusia, kerana Allah yang mampu menolongmu.


Jalani hari-hari mu dengan tabah. Hadapi seperti biasa. Jangan putus asa. Kerana ganjaran akhirat menantimu. Bersabar dan terus bersabar. Allah akan hadiahkan sesuatu yang tidak kamu jangka suatu hari nanti. Cepat atau lambat terpulang pada pemberian Allah. Sentiasa bersyukur dan senyum.

~BERSABARLAH DUHAI HATI YANG LARA~