Friday, October 17, 2014

Tips Stress di Tempat Kerja


Setiap makhluk Allah diciptakan lemah kerana tiada yang berkuasa melainkan Allah swt. Begitu juga manusia. Walaupun manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik, namun banyak kelemahan yang terdapat dalam diri. Bagaimana mengatasi kelemahan diri bergantung kepada kebijaksaan akal yang dikurniakan Allah swt. Kehidupan masa kini mendorong kita untuk bekerja. Pelbagai dugaan dan rintangan yang akan dihadapi di tempat kerja seperti tekanan ketika bekerja. Tekanan yang dihadapi akan mengganggu hati dan emosi. Jika tidak dihadapi dengan cara yang betul, boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri dan orang sekeliling. 

Allah mengajarkan melalui firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud " Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang bersabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un". Dan Allah berkata lagi dalam ayat ke-4 dalam surah Al-Fath, "Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada). Dan milik Allah lah bala tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

Islam meletakkan beberapa panduan untuk mengatasi tekanan tidak kira di tempat kerja mahupun di rumah. Asasnya adalah sama iaitu sentiasa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup serta niat yang ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Terdapat beberapa panduan dan tips yang boleh diamalkan dalam mengatasi tekanan kerja:

1. Sentiasa dalam keadaan berwudhuk
Dengan berwudhuk akan memberi ketenangan kepada jiwa. Islam menyarankan agar berwudhuk ketika hendak marah, begitu juga apabila menghadapi tekanan di tempat kerja, Moga Allah permudahkan kerja yang susah itu dan dapat diselesaikan dengan baik.

 2. Banyakkan mendengar dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran
Luangkanlah sedikit masa untuk membaca Al-Quran supaya hati juga akan merasa lapang kerana  ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Quran adalah pesanan dari Allah. Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang sentiasa mengingati Allah. Jadikan Al-Quran sahabat terbaik anda. Waktu yang terbaik membaca Al-Quran adalah selepas solat lima waktu dan sebelum tidur.

3. Banyakkan solat sunat dan berzikir (bertakbir, bertahmid dan bertasbih)
Kajian dibuat menyatakan solat adalah senaman dan terapi yang terbaik. Sebab itu kita diwajibkan oleh Allah swt untuk bersolat. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 153, "Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar. Apa yang dari Allah adalah yang terbaik.
Keduanya dengan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih, mampu menenangkan jiwa seperti janji Allah dalam Ar-Ra'd ayat 28, "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah (dengan zikrullah) hati menjadi tenteram". Dengan bersolat dan berzikir, hati jadi tenteram dan mendapat kekuatan dari Allah.

4. Berdoa kepada Allah
Berdoalah kepada Allah agar hati sentiasa tabah serta dipermudahkan urusan harian. Allah akan bantu hambaNya yang sentiasa ingat dan sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ghaafir ayat 60, "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang sombong tidak mahu menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina". Waktu yang mustajab untuk berdoa adalah ketika waktu azan dan iqamah, sebelum subuh, tengah malam, waktu hujan, selepas solat, sebelum waktu berbuka, waktu sahur dan sebagainya.

5. Sentiasa bersangka baik
Sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah. Setiap hamba Allah tidak akan pernah terlepas dari diuji Allah. Sedangkan Nabi dan para sahabat dan sahabiah yang dijanjikan syurga oleh Allah juga diuji dengan pelbagai ujian, inikan pula kita sebagai manusia biasa. Percayalah setiap apa yang Allah tetapkan ada hikmah disebalik kejadian. Ikhlas dalam menerima ujian kerana ujian Allah adalah untuk menguji keimanan hambaNya. 


6.  Menangis sepuas hati
Percaya atau tidak sebenarnya menangis sepuasnya dapat melegakan tekanan yang dihati. Meluahkan dengan cara menangis dan mengadu kepada Allah akan membuatkan hati merasa tenang. Apa yang terbuku dihati dapat diluahkan. Tapi janganlah  menangis sehingga memudaratkan diri. 

Tiada apa yang senang di dunia dan akhirat. Hadapilah tekanan di tempat kerja dengan sebaiknya. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, Allah akan permudahkan jalan penyelesaiannya. Yang penting usaha dan sabar. Selamat menangani tekanan dalam kehidupan.


3 comments:

  1. Stress dan mereka yang bekerja sememangnya tak dapat di pisahkan... Tekanan dari pihak tertentu pastinya sangat mengganggu emosi kita...

    ReplyDelete
  2. betul tue...lagi tinggi gaji, lagi banyak tekanan kerja yang perlu dihadapi.. kena berani tanggung risiko once terima kerja..apa pun, yakin dengan pertolongan Allah dan kembali pada Allah setiap masa...sebab Allah tempat bergantung harap.

    ReplyDelete