Sunday, January 29, 2012

Apa Beza Cinta Sebelum & Selepas Kahwin? - Part 2

Cinta Selepas Bertunang


Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabdian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan.

Orang yang bertunang dikatakan 'darah manis' kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan perkahwinan. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalalkan segala perhubunagan antara lelaki dan wanita. Bertunang adalah tempoh suai kenal dan bukanlah tempoh untuk memadu asmara. Maka, orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum 'halal' untuk bersentuhan, bercium dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga dengan pihak perempuan belum lagi bergelar isteri. Maka, berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidka jemu menggoda dan cuba untuk merosakkan cinta yang terbina.